Marah datang dari perasaan atau emosi. Emosi telah menguasai pemikiran tatkala kemarahan hadir sehingga aspek pemikiran dan psikomotor (gerak anggota) tidak dapat dikawal lagi. Pada ketika itu gerak geri manusia secara automatik akan akur kepada arahan emosi misalnya muka berubah jadi merah –(darah naik kemuka kata orang) – mata dibeliakkan, bibir digetap atau mulut ternganga dan suara meninggi. Bila marah sudah sampai ke tahap melampau, kaki dan tangan juga turut bertindak secara spontan dan agresif seperti menendang atau menyepak, menghempas barang-barang di hadapan mata dan lain-lain sehingga seseorang individu itu boleh bertindak seperti orang tidak siuman. Maki hamun dan sumpah seranah memang perkara biasa dilakukan oleh mereka yang marah secara melampau..
Persoalannya,bagaimanakah seseorang itu bisa merasakan kemarahan? Amnya ada beberapa perkara yang boleh menyebabkannya. Pertama apabila emosi seseorang itu sudah tersentuh Oleh itu mereka yang emosional atau cepat terasa akan menjadi cepat marah bila mendapati emosi mereka sudah terganggu. Contohnya kita akan merasa tersentuh bila ada orang menuduh kita melakukan sesuatu yang pada pendapat kita, kita tidak melakukannya. Emosi kita akan terganggu bila dituduh yang bukan-bukan (pada perasaan kita).
Kedua, marah bisa hadir tatkala seseorang itu dicabar secara lansung atau tidak. Merasa marah akibat dicabar boleh dianggap sebagai naluri (instinct) manusia. Misalnya seorang suami marahkan isterinya yang tidak menurut perintahnya. Di sini dia merasa tercabar kerana kedudukannya sebagai suami sudah tergugat.
Ketiga, marah juga boleh berlaku akibat fenomena alam. Contohnya, mungkin marah itu akan hadir apabila kereta kita rosak di tengah jalan atau secara mudahnya sesuatu yang berlaku di luar perhitungan kita.
Ada banyak lagi perkara yang boleh mengakibatkan kita menjadi marah dan mudahnya semuanya terjadi akibat emosi kita sudah tersentuh. Mereka yang cepat marah atau "naik angin" kata orang - dipanggil "panas baran". Orang yang panas baran akan cepat melenting dan marah-marah sehingga di luar kawalan.
Pesoalan kedua disini,bagaimanakah cara terbaik untuk kita mengatasi perasaan marah??
Sebenarnya oleh sebab marah itu datang dari emosi atau perasaan, ia akan dapat diatasi dengan mudah jika kita cukup bersedia. Yang paling utama kita perlulah dapat mengawal emosi dengan sempurna. Bila kita sudah merasa nak marah, cepat-cepatlah alihkan fokus kita ke otak – jangan biarkan emosi mengawal diri. Dengan cara berfikir melalui otak – bukan melayan perasaan , emosi kita akan dapat dikawal dan seterusnya boleh mengurangkan rasa marah kita. Proses ini dalam psikologi dipanggil sebagai "cognitive factor". Mereka yang dapat dipengaruhi oleh emosi disebut sebagai "emotivist" Hanya dengan berfikir secara teratur saja kita akan menjadi rasional.
Ada beberapa cara bagaimana kita boleh mengatasi perasaan marah:
• Ahli psikologi menyarankan bila kita merasa nak marah, cubalah renung kuku ibu jari tangan kita kira-kira 2 minit. Dengan cara itu kita akan dapat mengubah fokus dari emosi ke pemikiran.
• Ada pula ahli psikologi yang mencadangkan supaya kita membilang 1,2,3,4,5... ...sehingga perasaan kita yang tegang itu menjadi kendur.
• Ketika perasaan marah sudah menguasai diri, cubalah bawa tersenyum kerana dengan cara itu emosi kita akan menjadi tenteram. Tentu amat sukar kita hendak mengorak senyuman ketika sedang marah; tapi tidak mustahil kita mampu melakukannya jika dicuba.
• Jika anda beragama Islam perkara di bawah ini mungkin boleh menolong:
- Bawa beristighafar atau mengucap berulang kali.
- Baca mana-mana ayat al-Quran yang kita tahu terutama surah an-Nas
- Ambil wuduk (jika mampu)
- Solat sunat (jika perlu)
Kesimpulannya,kesemua cara di atas bertujuan untuk memindahkan fokus kita dari emosi ke pemikiran. Bila pemikiran kita sudah berjaya mengawal emosi, insyaallah perasaan marah kita akan reda dan seterusnya hilang. Biarlah pemikiran (cognitive) menguasai diri kita – bukan emosi..
0 bUdak cOmeL bERucaP :
Catat Ulasan